Tan Sri Liew Yun Fah

TAWAU – Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah meminta semua pihak berhenti memfitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal yang kononnya menerima imbuhan untuk menyertai parti tersebut.

Liew berkata Rina yang keluar daripada Parti Warisan (Warisan) dan menyertai Harapan Rakyat tidak menerima sebarang imbuhan daripada mana-mana pihak.

“Bagi saya Rina seorang yang berani kerana menyertai parti saya sebuah parti kecil dan diterajui pemimpin Cina, saya telah ingatkan dia (Rina) akan ditohmah dan difitnah nanti,” katanya pada sidang media bersama Rina di sini hari ini.

Menurut Liew, Rina perlu diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau seorang wakil rakyat yang bekerja dan menjaga dengan baik kawasan Kukusan.

“Beri dia tempoh tiga bulan, jika Rina tidak boleh bekerja, hanya tahu bercakap saja maka dia layak ditegur dan fitnah bahawa dia masuk Harapan Rakyat kerana mahu kaut keuntungan itu betul,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata beliau sudah bersedia berdepan tohmahan dan rintangan selepas membuat keputusan untuk beralih kepada sebuah parti tempatan yang kecil, namun bertumpu kepada isu di Tawau.

“Saya sedar saya orang baharu berpolitik dan Warisan adalah perjuangan awal saya tetapi perjuangan itu saya teruskan bersama Harapan Rakyat dan saya memperjuangkan ‘Sabah for Sabahan’,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyertaan dalam Harapan Rakyat walaupun ia parti yang kecil dibuat kerana melihat gerak kerja membantu rakyat lebih mudah disebabkan presiden parti itu tinggal di Tawau.

Rina berkata pelbagai program yang dirancang sebelum ini untuk kawasan Kukusan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

— BERNAMA