Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar kenangan bersama wakil syarikat penghantar makanan selepas menerima sijil penghargaan pada Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2022.

SEPANG – Situasi kejadian keracunan makanan di negara ini masih terkawal berdasarkan terdapat trend penurunan sebanyak 31.6 peratus iaitu penurunan dari sebanyak 288 kes kejadian keracunan pada tahun 2020 kepada 197 kes keracunan makanan pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai intervensi dan aktiviti promosi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan untuk melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, antaranya menawarkan pelbagai inisiatif termasuk beberapa skim pensijilan seperti Skim Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Makanan Sihat Tanggungjawab Industri (MeSTI) untuk kilang makanan.

“Pada masa sama, Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) turut diberikan kepada pengusaha kedai makan dan kendera saji (food truck) serta turut memperkenalkan satu program khusus iaitu Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food).

“Orang ramai iaitu iaitu pengguna merupakan titik akhir dalam rantaian makanan mempunyai kuasa untuk memacu perubahan dalam memastikan makanan yang diambil adalah makanan yang bersih dan selamat.

“Saya ingin menyeru agar setiap pengguna sentiasa mengamalkan konsep “Lihat, Hidu dan Rasa” bagi mengurangkan risiko kejadian keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2022.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengusaha dan pengendali makanan yang beroperasi di rumah digalak mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memberi jaminan keselamatan makanan yang disediakan untuk pengguna.

Beliau memberitahu berkata biarpun arahan itu tidak diwajibkan, penyenaraian tersebut dapat memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih produk makanan yang dijual dalam platform perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailling) yang diyakini selamat.

Beliau berkata, ketika ini penyenaraian itu masih dibuat secara sukarela yang boleh disemak melalui laman sesawang KKM.

“Ketika ini lebih banyak perniagaan yang beroperasi dari rumah (homebase) berikutan perubahan gaya hidup sepanjang pandemik Covid-19.

“Ia memerlukan kualiti makanan dan semakan kepada kualiti yang memastikan Keluarga Malaysia dapat makanan yang selamat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (dua kanan) menyempurnakan ‘flag off’ bagi penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) sempena gimik Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2022.