Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz bahawa tugas hakiki beliau adalah mencari jalan untuk mengatasi krisis ekonomi negara. 

Katanya, pendekatan Tengku Zafrul yang menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan adalah sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.

“Keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi. Keutamaan menteri nampaknya Kuala Selangor.

“Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun anak angkat. Ini adalah dasar sasau dan keliru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu merujuk kepada kenyataan Tengku Zafrul bahawa beliau berbesar hari untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, seperti yang dicadangkan kepadanya demi merealisasikan kemajuan daerah tersebut semaksimum mungkin.

Senator Dewan Negara itu sebelum ini dikatakan akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah terdapat spekulasi bahawa beliau akan melakukannya di Kuala Selangor atas tiket UMNO.

Untuk rekod, kerusi Kuala Selangor kini disandang oleh Datuk Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (Amanah), yang sebelum ini berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU15 kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda parti itu. – MalaysiaGazette