Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78 dan anaknya Mohamed Rizal, 53, didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali.

RAUB – Bekas diplomat Malaysia berstatus Datuk bersama anak lelaki yang diberkas polis selepas disyaki memiliki tanaman ganja mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas tuduhan menanam sejumlah 102 pokok ganja di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78 dan anaknya Mohamed Rizal, 53, didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Kedua-kedua kelihatan tenang serta mohon dibicarakan di mahkamah.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam tumbuhan 102 pokok ganja di Lot 5718 Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik di Bentong pada pukul 6.10 petang 21 Mei lalu.

Sesi pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab. Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Bagaimanapun tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai hadapan.

Mahkamah turut dimaklumkan oleh pihak pembelaan bahawa satu surat representasi telah dihantar ke Peguam Negara pada 2 Jun lalu.

Terdahulu, pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seorang anak kepada bekas duta Malaysia ke Indonesia pada tahun 1995 hingga 1999 ditahan atas dakwaan menanam dan memiliki 102 pokok ganja di Janda Baik.

Suspek disyaki menanam 68 pokok ganja di atas tanah manakala 34 lagi anak pokok semaian di dalam beg plastik di vila kediaman bekas diplomat itu dan didakwa bersama-sama mengedar ganja seberat 1,020 gram.

Pada 3 Jun lalu, kedua-dua anak beranak itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dan memiliki minyak ganja mengikut pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(2) akta sama iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.

Mohamed Rizal juga berdepan pertuduhan menggunakan dadah jenis THC di pejabat narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 8.40 malam, 23 Mei lepas.

Mohamed Rizal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak bekas duta tanam 102 pokok ganja keliling rumah

1 Komen

  1. Buktikan dalam jail berubat sakit makan nasi ganja berulam daun ganja tanpa hisap ganja bikin kanser paru-paru dong.

Comments are closed.