Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashimneramah mesra bersama para graduan selepas Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) 2022 ketika di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

SHAH ALAM – Kebolehpasaran graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) pada tahun lalu menurun kepada 85 peratus akibat Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan berkata, jumlah itu dilihat menurun berbanding peratusan kebolehpasaran graduan berkenaan setiap tahun sejak 2014 hingga 2020.

Bagaimanapun beliau menyifatkan bahawa penurunan kadar berkenaan bersifat sementara disebabkan pandemik.

“Menerusi pembukaan semula semua sektor ekonomi pasca Covid-19, pasaran pekerjaan dijangka kembali rancak dan seterusnya membuka ruang yang lebih luas kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memasuki alam pekerjaan berbekalkan kemahiran yang telah diperolehi.

“Ini dibuktikan dengan pengeluaran statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan kadar penggangguran negara telah turun ke paras 4.1 peratus pada suku pertama tahun 2022 berbanding 4.3 peratus pada suku keempat tahun 2021,” katanya menerusi ucapan yang dibaca Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dalam Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) 2022 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) hari ini.

Beliau berkata, institusi TVET perlu ditransformasikan melalui kursus-kursus baharu yang selari dengan perubahan teknologi semasa khususnya berkaitan teknologi digital.

Tambah beliau, antara kursus baharu yang dilihat bakal mempunyai potensi kebolehpasaran adalah bidang keselamatan siber, telekomunikasi 5G dan teknologi drone yang ditawarkan oleh beberapa ILJTM terpilih seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Saya berharap melalui pengenalan kursus-kursus baharu ini, ILJTM akan dapat melatih lebih ramai tenaga mahir yang diperlukan oleh industri dalam bidang-bidang tersebut serta menjadi sinergi dalam menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai program TVET di ILJTM,” tambahnya.

Sementara itu, Saravanan berkata, salah satu projek yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi RMK-12 adalah pembinaan makmal pembelajaran secara immersive di ADTEC Shah Alam.

Menurutnya, projek berkenaan merupakan inisiatif bagi menyediakan kemudahan fizikal, perkakasan dan perisian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi virtual reality (VR) dan augmented reality (AR).

Jelas beliau, makmal berteknologi tinggi tersebut akan menjadi platform pelaksanaan latihan tanpa perlu terdedah kepada risiko bahaya penggunaan mesin dan peralatan sebenar.

“Pendekatan latihan berteraskan teknologi digital ini diyakini mampu meningkatkan minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang TVET.

“Makmal ini juga bakal menyediakan bahan pembelajaran digital yang bukan sahaja akan digunakan di ILJTM, malah boleh dimanfaatkan oleh institusi TVET di seluruh negara,” kata Saravanan lagi.

Beliau berharap, usaha yang bakal dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) ini berupaya meningkatkan kualiti dan keberkesanan program TVET di seluruh ILJTM secara
berterusan.- MalaysiaGazette