Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu-isu Sekuriti Makanan Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus meneliti dan memantau status bekalan makanan negara.

Dalam masa yang sama, menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia termasuklah pemantauan terhadap komoditi utama, merangka pelan tindakan komprehensif meningkatkan jaminan bekalan makanan sekaligus memantau pelaksanaan semua tindakan-tindakan yang dilaksanakan.

Menurut Ronald, kerajaan sedang melaksanakan semua inisiatif yang telah dirangka demi menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Tambah beliau, ia akan disusuli dengan langkah jangka masa sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

“Kerajaan akan terus komited untuk memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin. Dalam menghadapi situasi peningkatan harga dan kekurangan bekalan, Kerajaan telah mengumumkan beberapa tindakan jangka pendek. Kesemua inisiatif yang dirangka oleh Kerajaan ini sedang giat dilaksanakan dan akan disusuli dengan langkah jangka masa sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kementeriannya akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkukuhkan sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran semasa rantaian bekalan makanan dengan kerjasama di antara kementerian dan agensi yang berkaitan.

“MAFI akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan Negara mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan menerusi kerjasama padu merentasi kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri sekaligus menjamin kelangsungan bekalan makanan yang berterusan dalam apa jua keadaan bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” tambahnya.

Ronald terdahulu berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang berlangsung hari ini menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda bagi tahun 2022 supaya krisis sekuriti makanan negara ditangani dengan segera.

Selain menitahkan supaya kerajaan merangka pelan jangka masa panjang, baginda turut menasihati rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast