Siti Kassim Bon Odori JAKIM
Siti Kassim

KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Kassim mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai larangan terhadap umat Islam bagi menyertai program Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara pada 16 Julai ini.

Siti Kassim mendakwa JAKIM mudah terkeliru dengan konsep sambutan festival dari Jepun itu.

“Yang keliru tentang Islam hanyalah JAKIM. Biasanya setiap hari umat Islam tidak mempunyai masalah untuk bersama-sama dengan bukan Islam dalam perayaan mereka dan meraikannya.

“Malangnya akidah JAKIM tak kuat sangat. Mudah keliru,” dakwa Siti Kassim di Facebook beliau, hari ini.

Jelas Siti lagi, festival tersebut sudah lama diadakan di negara ini dan mengapa sekarang bagi JAKIM membuat kenyataan mengenai penganjurannya.

“Saya rasa mereka (JAKIM) mengalami semacam percanggahan rohani. Perayaan ini telah berlangsung selama bertahun-tahun.

“Kenapa tiba-tiba sekarang? Mereka tidak sepatutnya melayan kita seolah-olah kita tidak boleh menggunakan otak kita sendiri,” katanya.

JAKIM menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pada Isnin lalu menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menghadiri Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai.

Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Malah semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata festival berkenaan mempunyai unsur-unsur yang dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

Malah cara memperingati roh nenek moyang dengan menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam malah dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah.

Untuk rekod, Festival Bon Odori juga bakal dianjurkan di Pulau Pinang pada 30 Julai ini di Padang Kota Lama dan merupakan antara acara tahunan yang diadakan di negeri ini.

Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun. – MalaysiaGazette