Hamzah bersama Erdogan semasa lawatan kehormat ke Ankara Turki pada 31 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan minat untuk mempelajari sistem pengurusan keselamatan daripada Turki terutama membabitkan kawalan sempadan negara serta isu pelarian secara efektif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan hasrat itu semasa kunjungan hormat beliau terhadap Presiden Republik Turki, TYT Recep Tayyip Erdoğan pada 31 Mei lalu bertempat di Istana Presiden Republik Turki, Ankara.

Beliau telah ditemubual eksklusif oleh Anadolu Agency syarikat media terkemuka di Turki.

Terpegun dengan kecanggihan sistem kawalan keselamatan yang dimiliki Ankara dalam menangani soal pencerobohan sempadan negara, Hamzah menyatakan banyak perkara yang perlu dipelajari Malaysia.

Beliau semasa kunjungan itu turut melawat kawasan kawalan sempadan dengan Syria, Iraq and Greece.

Kata Hamzah, Malaysia berminat untuk mempelajari daripada Turki dalam mengawal pelarian di sempadan dan berkongsi pengalaman dalam pelancongan serta pemuliharaan tapak bersejarah selain memperkukuhkan pertukaran tenaga modal insan.

Sejajar dengan perubahan politik tempatan dan global, Hamzah menggesa kepimpinan politik yang utuh antara negara-negara Islam selain solidariti dan perpaduan dalam kalangan parti politik yang diyakini akan menjamin hasil yang positif.

Katanya, Turki dan negeri Melaka sebenarnya merupakan dua negara Islam yang bekerjasama rapat dalam pelbagai sektor menerusi sejarah berusia lebih 500 tahun.

“Ini kerana Melaka menjadi negara berdagang pada masa dahulu dan Turki yang menjadi empayar Ottoman menjadi kuasa besar ketika itu manakala hubungan diplomatik akrab antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1964 kini mencapai satu lagi tahap pemahaman yang lebih baik.

“Dalam keadaan perubahan dunia ekonomi sekarang kebanyakan negara kuasa besar dunia mempunyai dan mengejar agenda maasing-masing dan dalam perkembangan berkaitan Malaysia merasakan bahawa perlunya kerjasama rapat antara Malaysia dan Turki serta negara-negara lain,” kata Hamzah dalam wawancara tersebut.

Hamzah juga dilaporkan telah bertemu dengan Erdogan dan menerangkan mengenai masalah khususnya dalam menguruskan sempadan di Malaysia kepadanya.

Beliau juga menjelaskan menimba pengalaman selepas ditunjukkan pegawai kerajaan Turki bagaimana mereka menguruskan kawalan fizikal menggunakan teknologi di sempadan negara daripada diceroboh asing.

“Mereka membina tembok konkrit, jalan raya dan menyediakan lampu jalanan sepanjang sempadan antara terpenting dalam menyediakan kawalan sempadan yang lebih teratur dan kukuh,” katanya.

Dalam wawancara sama beliau juga berkongsi pengalamannya memantau sendiri sempadan antara Greece dan Turki selepas melawat ke sempadan Greece dan Bulgaria yang menunjukkan tahap keseriusan negara itu dalam mengawal sempadan negara.

Hamzah juga menambah kecenderungan beberapa negara yang mahu membina pengkalan di rantau berkenaan membolehkan Turki tampil dengan dasar memperkukuhkan kawalan dan keselamatan di kawasan sempadan itu.

Untuk berbuat demikian, katanya, kita perlu memiliki teknologi yang teratur dan aset bagi menjamin mekanisme pertahanan yang mampan pada masa hadapan.

“Saya tabik dan ingin mengucapkan tahniah kepada Turki kepada mempunyai dasar pandang jauh dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara. sambil mengakui ada banyak yang boleh dipelajari oleh Malaysia dalam soal memperkukuhkan keselamatan di sempadan negara.

“Saya mahu tampil dengan satu perjanjian yang komprehensif antara kedua-dua negara khasnya dalam soal keselamatan… bagaimana menguruskan sempadan serta keselamatan dalam negara dan ia dijangka akan termeterai dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.

Beliau juga mengakui bahawa krisis Covid-19 telah melewatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kerajaan Turki dan Malaysia dalam sektor pertahanan dua tiga tahun yang lalu.

Katanya tujuan utama kunjungan hormat beliau ke Turki adalah untuk memastikan kerjasama itu diaktifkan semula secepat mungkin selepas mengharungi halangan Covid-19 sebagai merujuk kepada 14 memorandum yang telah dicapai antara syarikat swasta kedua-dua negara dalam sektor pertahanan pada 2019.

Beliau turut mengambil masa melawat syarikat industri pertahanan Türkiye Aerospace dan menyatakan rasa kagum dengan pencapaian mereka dalam tempoh 20 tahun terakhir ini dan mengakui Turki telah maju dengan pantas berbanding apa yang dimiliki Malaysia dua dekad lalu.

Zainuddin juga mencadangkan Türki boleh bermanfaat menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan keanggotaan 14 negara Asia Pasifik sambil mempelawa Turki untuk mengambil peluang untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam potensi pasaran luas itu.

Dalam wawancara sama, Hamzah turut berkongsi permasalahan yang dihadapi Malaysia dalam menguruskan pelarian khususnya Rohingya yang sedang dihadapinya dan mengakui Malaysia bukan negara yang menandatangani referandum Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami membenarkan pelarian Rohingya dari Myanmar atas dasar kemanusiaan ke dalam negara tetapi pada masa yang sama tiada orang yang boleh masuk negara sewenang-wenangnya mengingkar undang-undang.

“Bila saya biacara tentang undang-undang, ia tidak bermakna mereka boleh masuk sesuka hati dan buat apa sahaja yang mereka suka.

“Masalah sebenar yang kami hadapi di Malaysia ialah bukan mereka yang melanggar undang-undang, sebaliknya masalah orang tidak berdokumen atau tidak memiliki kerakyatan dan beribu-ribu daripadanya tinggal di Malaysia,” tegasnya.

Katanya, Malaysia mahu memastikan mereka yang tinggal di Malaysia mempunyai identiti tersendiri bagi membolehkan kita memahami kedudukan mereka dan tempat kerja mereka dan sebagainya sambil mengakui bukan semua warga Rohingya berdaftar secara teratur.

“Agensi penguatkuasaan, anggota marin kami dapat menangkap beberapa bot yang membawa pelarian Rohingya dan apabila kita membawa mereka ke darat dan melakukan pemeriksan mendapati mereka hanya memiliki kad pelarian yang dikeluarkan oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Adakah ia adil untuk seseorang diberikan kad pelarian PBB sebelum mendarat di negara kami…Malaysia? sudah pasti ia tak adil.. sekarang mereka hanya mengeluarkan 200,000 kad pelarian dan ini hanyalah permulaan.

“Malah inilah masalah besar yang saya sedang berdepan dengan UNHCR dan untuk pengetahuan hanya Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia sahaja satu-satunya pihak berkuasa yang boleh mengeluarkan kad pengenalan.’

“Isu Rohingya sebenarnya lebih kepada soal pengenalan, siapa mereka semua? Semasa tahun 1980 apabila berlaku Perang Vietnam ramai rakyat dari negara SEA yang dilanda peperangan terbang mencari perlindungan ke Malaysia,” katanya.

Hamzah menambah ketika itu Malaysia membenarkan UNHCR untuk membuka pejabat di Malaysia untuk sementara waktu manakala perjanjian juga bertempoh sementara tetapi mereka sudah lama bertapak di Malaysia sehingga sekarang.

Hamzah berkata, Malaysia mahu melihat bagaimana Turki menguruskan masalah seumpama dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Ankara.

“Saya kata (jika) mereka mengeluarkan sendiri kad pengenalan masing-masing. mereka juga akan berani tampil dengan pasport sendiri yang teratur,” ujar beliau sambil menambah Malaysia negara pertama di dunia ini yang mengeluarkan dokumen perjalanan elektronik pada tahun 1998.

Untuk menyelesaikan isu Rohingya, Hamzah menggesa untuk tindakan mengenal pasti pelarian sebenar.

Kedua, katanya,mengambil pendekatan antarabangsa dengan menjalin kerjasama dengan Myanmar untuk menerima Rohingya semula sambil dengan cadangan menggunakan mekanisme serantau seperti ASEAN.

“Kita boleh bercakap kepada mereka (Myanmar) dan menasihatkan kenapa tidak mengambil semula pelarian Rohingya, meminta PBB untuk menerima semula Rohingya untuk kembali ke negara asal (Myanmar) dan untuk itu kita perlu mengenalpasti pelarian yang ada di Malaysia,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak dapat membuat sebarang keputusan buat masa ini sama ada Myanmar yang juga anggota ASEAN gagal dalam menyelesaikan isu Rohingya ini.

Katanya, jika ASEAN dianggap gagal dalam isu berkenaan, PBB juga wajar dianggap gagal dalam menagani banyak isu lain.

Hamzah juga menegaskan ASEAN perlu diberi ruang untuk menyatakan bahawa Myanmar bukan hanya bertanggungjawab sekadar mengambil berat tentang hal dalam negara tetapi juga perlu fokus kepada isu pelarian daripada Myanmar ke negara-negara jiran seperti Malaysia yang menjadi masalah sosial agak serius.

Beliau menekan ASEAN untuk melantik seorang duta khas untuk pergi ke Myanmar dan berunding bagi menangani isu pelarian Rohingya.

“Isu ini menjadi masalah keselamatan bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk negara ASEAN,” ujarnya. – MalaysiaGazette