Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebanyak 3,670 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di negeri ini sehingga hari ini dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16 kali ganda.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, angka itu dinilai pada tempoh yang sama pada tahun lalu di mana hanya 233 kes direkodkan.

“Sebanyak 95 peratus atau 3,585 kes berlaku secara sporadik manakala 4.7 peratus atau 175 kes lagi dikenal pasti hasil penularan di pusat asuhan.

“Manakala 3,375 kes membabitkan kanak-kanak berusia kosong sehingga enam tahun, 326 kes bagi kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun manakala 59 kes dalam kalangan individu berusia lebih 12 tahun termasuk 44 kes membabitkan pesakit berusia lebih 18 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr. Norazimi berkata, majoriti kes berkenaan pulih tanpa rawatan dan hanya 98 kes sahaja yang pernah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut.

Bagaimanapun tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi serta tiada kes kematian direkodkan sehingga hari ini.

Pihaknya juga telah melakukukan pemeriksaan dan lawatan sebanyak 505 premis taska untuk pemeriksaan dan 35 daripadanya telah diarahkan tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan dua pusat jagaan harian pula membuat penutupan secara sukarela.

Tambah Dr. Norazimi, pihak pengurusan pusat asuhan juga digalakkan untuk membuat saringan pintu masuk atau tempat permainan dalam bangunan bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda penyakit HFMD.

Selain itu, pihaknya menggalakkan pusat asuhan melakukan proses nyahkuman secara rutin terutama membabitkan peralatan dan perkakas yang digunakan oleh kanak-kanak bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan. – MalaysiaGazette