TEHRAN – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan ramai lagi cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir di timur Iran, kata pihak berkuasa awal Rabu.

Empat daripada tujuh gerabak kereta api itu tergelincir di landasan kereta api Tabas-Yazd berhampiran bandar Tabas di timur Iran.

Unit penyelamat bersama ambulans dan helikopter telah dikerahkan ke tempat kejadian, kata Gabenor Ali-Akbar Rahimi lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita ISNA.

Menurut laporan awal, 17 daripada 420 penumpang maut manakala 30 yang lain cedera dengan lima daripadanya kritikal, tambah Rahimi.

Kereta api dalam perjalan ke pusat bandar Yazd itu tergelincir kira-kira 50 kilometer di Tabas pada 5.30 pagi waktu tempatan (0100GMT), kata seorang pegawai tempatan.

Usaha menyelamat sedang dijalankan, tambahnya.

— BERNAMA