Kakitangan Jabatan Imigresen menjalankan urusan harian di kaunter Jabatan Imigresen ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2021 di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 NOVEMBER 2020.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kesesakan yang dilaporkan berlaku di pejabat Imigresen terutama di kawasan Lembah Klang bukan disebabkan kekurangan bekalan pasport tetapi ekoran peningkatan mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata permohonan dan pembaharuan PMA telah meningkat mendadak sebanyak 65 peratus ketika ini hingga berlaku kesesakan luar biasa di pejabat Imigresen terutama di Lembah Klang.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan Jabatan Imigresen mempunyai bekalan pasport lebih 1.2 juta yang mampu menampung peningkatan mendadak permohonan serta pembaharuan PMA.

“Bekalan pasport mencukupi, kami ada lebih 1.2 juta (pasport) dalam stor dan kalau habis, pembekal akan tambah lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas situasi kesesakan di kaunter Imigresen.

Khairul Dzaimee berkata antara faktor berlaku kesesakan di pejabat Imigresen adalah kerana orang ramai hadir serentak pada sebelah pagi untuk urusan membuat PMA.

“Contohnya di pejabat Imigresen di Shah Alam, pejabat memang sempit dan ramai datang pada waktu pagi untuk urusan buat pasport… mereka boleh datang sebelah petang,” katanya.

Waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi telah dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas.

Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.

Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai untuk mengambil peluang cuti persekolahan ketika ini bagi memohon dan memperbaharui PMA di pejabat Imigresen di luar kawasan Lembah Klang.

“Kita ada pejabat Imigresen yang menguruskan pasport dan tidak sibuk seperti di Putrajaya atau Shah Alam. Negeri seperti Perlis, Kedah, Kuantan dan Terengganu ini antara pejabat yang tidak sibuk dan permohonan pasport kurang,” katanya.

Khairul Dzaimee turut menasihati orang ramai agar memastikan mereka benar-benar mempunyai keperluan seperti urusan rasmi kerja dan melancong bagi memohon atau memperbaharui PMA.

“Jika tidak ada keperluan, tidak perlu buat pasport lagi…kadang-kadang saya tanya 10 orang yang buat pasport, enam beri jawapan tidak tahu lagi,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast