BANGI – Rangkaian restoran berkonsep makanan Thai milik Malaysia, Boat Noodle menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Pekerja Felda Malaysia Berhad (KOGUNA) bagi meluaskan rangkaian ke seluruh negara.
Pengerusi KOGUNA, Safie Muda berkata, kerjasama itu menawarkan perniagaan francais Boat Noodle kepada penerima manfaat Felda yang ingin memiliki perniagaan sendiri terutama di bandar-bandar kecil.
“Pelan peluasan rangkaian Boat Noodle ini beri peluang perniagaan kepada penerima manfaat Felda, terutama buat generasi muda yang berperanan mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada Majlis Perasmian Boat Noodle Bandar Seri Putra di sini hari ini.
Tambahnya, kerjasama hari ini selaras dengan objektif KOGUNA dalam memastikan pelaburan yang dijana mampu memberikan pulangan besar kepada pencarumnya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Boat Noodle, Tony Lim Chin Hau berkata, kerjasama tersebut memberi peluang kepada pemilik francais yang ingin mendapatkan keuntungan segera dalam tempoh dua tahun.
“Memandangkan ekonomi kini dibuka semula, kami ingin mulakan kerjasama dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang mengimpikan memiliki perniagaan sendiri terutama di bandar-bandar kecil.
“Dengan latihan operasi, pemasaran dan promosi daripada Boat Noodle, pemilik francais berpotensi menikmati hasil kerja keras mereka dalam tempoh selepas 24 bulan menjalankan perniagaan ini,” ujarnya.
Jelas Tony, Boat Noodle bakal mencecah satu dekad pengoperasiannya pada 2024 setelah menempuh pelbagai cabaran dalam meningkatkan jenamanya sejak pembukaan pertama pada Mac 2014.
Menurutnya, beliau ingin menerapkan budaya makan yang unik apabila setiap sajian Boat Noodle dihidangkan dalam saiz mangkuk yang kecil seperti konsep pasar terapung di Thailand.
Hasilnya, Boat Noodle berjaya memulakan perniagaan francais pada tahun lepas selepas memiliki 43 cawangan seluruh negara dengan tiga daripadanya bakal dibuka.
Bukan sekadar di negara ini, Boat Noodle turut dikenali di peringkat Asia Tenggara seperti di Singapura dan Brunei dengan masing-masing mempunyai tujuh dan dua cawangan. – MalaysiaGazette