Kredit Twitter Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Lawatan sulung Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan di sini, selama dua hari bermula Selasa, menandakan momentum interaksi positif baharu antara Malaysia dan Arab Saudi untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kunjungan Putera Faisal itu menjadi bukti hubungan kukuh yang terjalin lama antara kedua-dua negara dan dalam mesyuarat dua hala, kedua-dua pihak sepakat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai aspek ke peringkat lebih tinggi.

Saifuddin berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) yang pertama pada awal tahun depan, berfungsi sebagai platform dua hala menyeluruh untuk perundingan pelbagai sektor dalam pemulihan pasca pandemik, seperti perdagangan dan pelaburan, kesihatan, sosiobudaya serta urusan haji dan umrah.

Dalam kemas kini di Facebooknya, beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Arab Saudi kepada Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19.

Arab Saudi akan mengubah sumbangan satu juta vaksin AstraZeneca yang dijanjikan kepada Malaysia dalam bentuk sumbangan kewangan berjumlah USD5.25 juta

“Kami juga bersetuju untuk meluaskan skop kerjasama termasuk dalam pengiktirafan sijil vaksinasi, perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam tindak balas wabak, dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pembangunan vaksin COVID-19 dan rawatan antivirus,” katanya.

Kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen untuk memupuk interaksi antara rakyat kedua-dua negara dalam bidang latihan dan pembinaan kapasiti pegawai awam serta dalam sektor pendidikan.

Turut dibincangkan mengenai persiapan musim haji 1443H dan Saifuddin berkata Malaysia berharap Arab Saudi akan mempertimbangkan pemberian slot tambahan untuk jemaah haji Malaysia musim ini.

“Mengenai isu serantau dan antarabangsa, kami bertukar pandangan tentang perkembangan global dan serantau, terutamanya isu di Ukraine dan Palestin.

“Putera Faisal dan saya berkongsi kebimbangan dengan situasi kemanusiaan yang teruk dan akan bekerjasama dalam memberikan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Lawatan Putera Faisal ke Malaysia bermula dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, diikuti dengan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

— BERNAMA