Sebahagian motosikal yang dirampas daripada sindiket curi motosikal di daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah  (SPT) berjaya menumpaskan lima sindiket yang terlibat dalam kegiatan curi motosikal di daerah berkenaan.

Lima kumpulan terbabit dikenali sebagai Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan bermula 18 Mei hingga 1 Jun itu dilakukan di daerah Seberang Perai Utara, Juru, Bukit Tengah serta beberapa kawasan di Kedah.

Shafee (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah SPT, DSP Raja Munawir Shah.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, polis menahan 21 suspek termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 14 hingga 37 tahun.

“Satu pasukan khas ditubuhkan oleh BSJ IPDSPT susulan April hingga Mei lalu sebanyak 37 buah motosikal dilaporkan hilang dalam daerah ini.

“Susulan daripada itu membawa kepada pembongkaran kegiatan lima sindiket ini yang aktif mencuri motosikal termasuk meleraikan kenderaan tersebut.

“Dalam serbuan sama kita berjaya merampas 12 buah motosikal, tiga casis dan sebuah enjin motosikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Enjin motosikal antara yang dirampas polis.

Tambah Shafee, siasatan lanjut juga mendapati sebahagian tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi motosikal, pecah rumah dan dadah.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

“Selain itu, BSJ SPT juga komited dalam menumpaskan sindiket curi kenderaan mewah serta jenayah lain,” tegas beliau. – MalaysiaGazette