- Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan kecemerlangan dalam QS World University Rankings 2023 apabila berjaya membuat lonjakan 20 anak tangga untuk berada pada kedudukan 123 terbaik dunia.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan kecemerlangan dalam QS World University Rankings 2023 apabila berjaya membuat lonjakan 20 anak tangga untuk berada pada kedudukan 123 terbaik dunia.

Kedudukan cemerlang itu dan sebagai universiti kedua terbaik dalam negara telah merekodkan pencapaian terbaik UPM dalam sejarah penarafan antarabangsa.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, empat indikator penilaian menunjukkan peningkatan ranking iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Nisbah Staf Akademik dengan Pelajar dan Peratus Pelajar Antarabangsa dengan indikator pelajar antarabangsa sebagai kekuatan utama UPM yang menduduki tempat ke-99 di dunia.

Mohd Roslan Sulaiman

Ini, katanya, menunjukkan reputasi serta pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan dan kualiti akademik di UPM yang berjaya menarik minat pelajar antarabangsa mengikuti program pengajian dan setanding dengan universiti terkemuka antarabangsa.

“Walaupun UPM berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kesan daripada pandemik Covid-19, dedikasi dan sokongan penuh yang diperoleh dari pelbagai peringkat staf yang digembleng bersandarkan kepada misi, visi, nilai dan budaya kecemerlangan membolehkan universiti ini terus merekodkan kejayaan demi kejayaan dalam segala aspek terutama penyelidikan dan reputasi antarabangsa.

“Pencapaian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi kebitaraan UPM yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan bermakna kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun terus mencatat peningkatan, sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UPM percaya ada banyak lagi ruang penambahbaikan agar kecemerlangan itu dapat terus dipertingkatkan.

Antara inisiatif yang akan diteruskan ialah memberi perhatian kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama khususnya bidang pertanian dan sekuriti makanan, di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat lokal dan juga global.

Bagi menjayakan agenda itu, Dr. Mohd Roslan berkata, UPM akan terus memperhebatkan usaha secara tersusun dan berstruktur melalui penanda aras dalam aspek amalan dan pencapaiannya dengan universiti yang cemerlang di rantau ini dan juga dunia. – MalaysiaGazette