Dr. Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah menafikan jasa dan khidmat bakti Dr Mohamad Khir Toyo  apatah lagi ketika beliau menggalas jawatan Menteri Besar hampir 10 tahun sebagai Menteri Besar.

Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan bagaimanapun berkata, Mohamad Khir perlu sedar impak negatif sekiranya kembali ke arena politik apatah lagi bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan jika Mohamad Khir meneruskan hasratnya, ia hanya memburukkan keadaan malah boleh memberi impak negatif kepada peluang UMNO mengambil alih Selangor pada PRU-15.

Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan.

“Betul, peluang untuk menang itu ada dan cerah kerana di situ dikatakan kubu atau tempat bermulanya sinar kejayaan beliau. Namun begitu, bukanlah Parlimen Sungai Besar yang dirisaukan.

“Kita risau impak negatif kepada Barisan Nasional (BN) Selangor dan 21 Parlimen serta 56 DUN di dalam Selangor kerana sejarah silam beliau sendiri.

“Dr Khir Toyo didapati bersalah atas tuduhan-tuduhan sebelum ini pasti akan dijadikan modal parti lawan.

“Kegagalan strategi Dr Khir Toyo ketika itu mengemudi BN mengakibatkan kita hilang Selangor sejak 2008 dan kini berlarutan sehingga tiga penggal,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor itu berhasrat untuk bertan­ding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika direstui pucuk pimpinan UMNO.

Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang itu yakin penerimaan dan sokongan rakyat terhadapnya kekuatannya sekaligus dapat membantu UMNO merampas semula kerusi Parlimen Sungai Besar.

Menurut Shah Zanuriman yang juga Ketua Pemuda BN Selayang, Mohamad Khir bukan muka baharu bahkan tidak menepati kriteria yang dikehendaki pengundi muda.

“Jangan hanya demi kepentingan diri sendiri atau come back yang ingin dilakukan akhirnya kita masih lagi gagal merampas kembali Selangor.

“Nasihat saya dengan kepakaran Dr Khir tolonglah beri sokongan dan dokongan pada parti. Beri nasihat dan bantuan yang sewajarnya kepada parti,” katanya.

Katanya lagi, Dr Khir tidak usahlah merosak mahu pun merencatkan usaha BN untuk merampas kembali Selangor.

“Pembunuhan karakter, serangan peribadi pasti akan dirasai tempiasnya oleh BN itu sendiri seandainya mencalonkan Khir Toyo.

“Cukuplah berpolitik…zaman juga sudah berubah…BN perlu menang di Selangor tanpa kehadiran Khir Toyo,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Khir Toyo kembali tanding jadi calon BN pada PRU-15?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast