Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri bercakap kepada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Krisis keselamatan makanan boleh dielak sekiranya agensi-agensi kerajaan berkaitan perladangan dan pertanian diaktifkan semula dalam menangani masalah bekalan ayam di pasaran.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, walaupun ia mungkin dilihat langkah keterbelakang namun cara itu dapat menampung bekalan dan keperluan makanan dalam negara.

“Saya melihat agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) contohnya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu mengambil semula tanggungjawab mereka membuat ladang ayam seperti dulu.

“Langkah ini mungkin boleh diteruskan semula kerana NAFAS ini satu agensi di bawah di bawah MAFI, berkapasiti untuk melaksanakan tanggungjawab mengawal berkaitan bahan-bahan mentah seperti ayam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera, terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

Dalam pada itu, beliau menyokong sepenuhnya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghapuskan permit import dalam menangani masalah kenaikan harga ayam di pasaran.

“Saya bersetuju dengan apa Perdana Menteri kita buat menghapuskan permit import, dalam masa sama kita tak boleh memandang isu ayam dan barang keperluan secara singkat.

“Kita kena pandang isu ini untuk jangka masa panjang,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu bertegas dalam menguatkuasakan satu-satu dasar termasuk penghapusan permit import agar pembekal dan penternak tidak mengambil kesempatan ketika krisis makanan.

“Penguatkuasaan perlu lebih tegas di bawah kementerian-kementerian bertanggungjawab. Kementerian berkaitan boleh merangka pelan jangka masa panjang untuk mengatasi soal kenaikan harga ayam dan kekurangan bahan mentah terutamanya permintaan dalam negara.

“Jadi agensi-agensi perlu dipertanggungjawabkan semula, diberi kuasa dan memain peranan agar kita tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya lagi. – MalaysiaGazette