Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Melaka berhimpun secara aman membantah perbuatan menghina terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik dari negara India, iaitu Nupur Sharma dan Naveen Jindal dari Parti Bharatiya Janata (BJP)

MELAKA – Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Melaka berhimpun secara aman membantah perbuatan menghina terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan melibatkan lebih 50 ahli NGO dan sebuah parti politik itu berlangsung selama kira-kira 30 minit di pekarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka petang tadi.

Antara NGO dan parti politik yang terlibat dalam perhimpunan itu ialah Pas yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya II, Imran Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Ummah Melaka, Muhammad Najib Latif.

Menurut Imran, kerajaan seharusnya memboikot produk keluaran kerajaan India sebagai tanda protes terhadap perbuatan dua ahli politik terbabit iaitu Nupur Sharma dan Naveen Jindal dari Parti Bharatiya Janata (BJP)

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan sewajarnya kita memberi tekanan kepada kerajaan India kerana tindakan menghina Nabi Muhammad dan Islam itu tidak boleh sama sekali diterima.

“Tapi kalau setakat berhimpun dan mengutuk, ia tidak memberi kesan jadi kita perlu sepakat memboikot barangan yang diimport dari India,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan anjuran Pemuda Pas Melaka bersama wakil daripada 15 NGO Islam di sini hari ini.

BJP mencetuskan kontroversi selepas dua jurucakap parti berkenaan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.

Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu

Sementara itu, Muhammad Najib berkata, pihaknya turut berasa kesal dengan perbuatan penghinaan yang dilakukan oleh dua ahli politik daripada BJP itu.

Umat Islam di negara ini malah di seluruh dunia tidak boleh lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang secara jelas menghina agama Islam khususnya apabila menyentuh keperibadian Nabi Muhammad SAW.

“Saya turut senada dan menyokong cadangan memboikot barangan yang diimport dari India sebagai balasan kepada mereka kerana mencetuskan keadaan huru hara ini,” ujarnya.

Ketua Pemuda Pas negeri, Muhammad Al Afiz Yahya dalam pada itu berkata, tindakan Nupur Sharma dan Naveen Jindal itu secara jelas telah mencabar kedudukan Islam.

“Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan kontroversi dan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

“Kita sepatutnya mencontohi mereka memboikot barangan dari sekaligus sebagai amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali mempermainkan atau menghina agama Islam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. setuju dan sokong DEMI AGAMA ALLAH…..bukan sahaja HINA NABI DI INDIA PERNAH membakar/roboh masjid membunuh umat ISLAM dan menentang dan BOIKOT yang berhijab

Comments are closed.