Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon. Foto MOHD ADZLAN, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menggesa Tengku Mahkota Johor (TMJ) pertimbangkan semula keputusannya mahu berundur daripada mengendalikan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau mengakui terkejut dengan keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam.

“Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” kata Pan Gon.

Malah sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur lagi, Pan Gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.

“Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia. Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” kata Pan Gon dipetik dari Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia hari ini.

Pan Gon berkata, Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.

“Di bawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Tambah Pan Gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TMJ umum berundur dari JDT