Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud . Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Pasukan khas yang terdiri daripada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  ditempatkan di sekitar Lembah Klang bagi mempercepatkan kelulusan permohonan pasport antarabangsa.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, strategi berkenaan dimulakan minggu hadapan untuk memberi kelulusan permohonan pasport secara dalam talian, sekaligus mengatasi masalah kesesakan sejak kebelakangan ini.

“Kami akan wujudkan satu pasukan untuk memberi kelulusan pasport online sahaja bagi kawasan di Lembah Klang. Johor telah laksanakan, lapan pegawai Imigresen daripada pelbagai negeri dihantar, di Johor mereka ditugas memberi kelulusan sahaja tak terlibat urusan lain,” katanya dalam sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Selain itu, Khairul Dzaimee turut bercadang untuk membenarkan penggunaan gambar sedia di dalam sistem bagi pemohon pasport berusia 30 tahun ke atas sebagai salah satu cara untuk menjimatkan masa proses kelulusan.

“Itu antara cadang penambahbaikan kita nak buat untuk luluskan dengan  cepat tapi tertalu ramai datang itu jadi lambat terpaksa tunggu,” tambah beliau.

Sebagai rekod, baru-baru ini dilaporkan berlaku kesesakan di  pejabat-pejabat Imigresen terutama di kawasan Lembah Klang.

Dilaporkan kesesakan yang berlaku bukan berpunca daripada kekurangan bekalan pasport tetapi ekoran peningkatan mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).-MalaysiaGazette