Mior Faridalathrash.

IPOH – Wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh dan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar akhir bulan lepas didapati tidak hamil seperti didakwa.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ia berdasarkan bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar dan dakwaan bahawa mangsa hamil hanyalah spekulasi disebarkan menerusi media sosial.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif pembunuhan namun kita yakin ada kaitan dengan teman lelakinya yang ditahan bagi membantu siasatan.

“Reman ke atas lelaki itu disambung enam hari lagi hingga Khamis depan manakala empat lagi yang ditahan masih direman hingga Isnin depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sabtu lepas, polis dilaporkan menahan lelaki berusia 20 tahun itu sebelum menahan empat individu lain bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas.

Polis turut menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.

Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pada Selasa lepas mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

— BERNAMA