Wisma Putra

PUTRAJAYA – Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan insiden kemalangan melibatkan bas pekerja dinaiki 15 warganegara Malaysia yang terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi pada Khamis.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata mereka merupakan pekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Mekah.

Susulan insiden itu, mereka yang terlibat dibawa ke Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Mekah bagi mendapatkan rawatan.

“Dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius patah tulang di bahagian bahu dan tengkuk, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

Menurut Wisma Putra, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung  kemalangan itu.

Tambahnya, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan insiden itu dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Kementerian Luar ¬†mendoakan agar kesemua mangsa kembali pulih dengan segera,” katanya.

— BERNAMA