Sebahagian Ahli Parti Amanah memegang poster bantahan mengenai isu kenaikan harga barang dan desakan terhadap kerajaan yang mewakili suara seramai 25 orang di hadapan Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NAI'IM, 11 JUN 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan digesa melaksanakan tindakan drastik untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang.

Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kuasa mengawal harga barang yang kini sedang menghimpit rakyat.

Ujar beliau, bukan sahaja golongan B40 malah ketika ini golongan M40 juga sudah mula terkesan dengan isu kenaikan harga barang yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup.

“Dengan kesempitan pasca Covid-19 berlaku pula kenaikan harga barang. Kalau tidak mampu selesaikan yang menteri berkaitan letak jawatan dan beri kepada orang lain melaksanakannya.

“Paling utama yang patut mengambil tindakan adalah Perdana Menteri, Perdana Menteri sepatutnya ambil peranan dan sepatutnya tahu keadaan rakyat sekarang,” katanya.

Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron bercakap pada media selepas mengadakan bantahan mengenai isu kenaikan harga barang dan desakan terhadap kerajaan yang mewakili suara seramai 25 orang di hadapan Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NAI’IM, 11 JUN 2022.

Terdahulu, seramai lebih kurang 25 orang penyokong Amanah Selangor mengadakan flashmob di hadapan sebuah hotel di sini bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan berkenaan kenaikan harga barang.

Kumpulan berkenaan turut mengajak orang awam bersolidariti menyuarakan ketidakpuasan hati dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.

Dalam masa yang sama, Danial berkata, kementerian yang berkaitan dengan harga barang juga perlu mengambil strategi dengan segera untuk membela rakyat.

“Harga barang sebenarnya boleh dikawal, kerajaan berada di kedudukan yang kukuh untuk melaksanakan sesuatu. Banyak alasan yang diberikan kerajaan, isu tidak boleh kawal kartel, pembekal terlalu lambat dan sebagainya, harga makan ternakan.

“Mana mungkin kerajaan tidak boleh kawal satu-satu harga barang, itu semua dalam kuasa kerajaan,” tambahnya.-MalaysiaGazette