Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (kiri), serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar (tengah), dan Ketua Sentiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad (kanan) merasmiskan pada Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat komited dan sentiasa konsisten dalam memantau tadbir urus pengurusan bagi memastikan operasinya sentiasa di landasan yang tepat serta memiliki daya pengerak tersendiri sebagai penyumbang ekonomi negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, bank berkenaan membuktikan kejayaan gerakan koperasi negara yang kini telah mencapai usia 100 tahun.

Jelas beliau, dalam tempoh itu, koperasi telah menunjukkan satu evolusi yang membanggakan dengan pelbagai penglibatan dalam sektor ekonomi yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Perjuangan gerakan koperasi seperti Bank Rakyat terus relevan dengan kejayaan meningkatkan kesejahteraan anggota melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

“Dalam masa yang sama, gerakan koperasi amat penting bagi menggerakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus dapat melahirkan Keluarga Usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 yang diadakan secara maya bagi menghimpunkan perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tengah), serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar (kiri), dan Ketua Sentiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad hadir pada Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 JUN 2022.

Menurut Noh, koperasi juga merupakan salah satu enjin pertumbuhan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK negara yang dapat mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat.

“Bank Rakyat merupakan antara penyumbang terbesar kepada perolehan sektor perkhidmatan kewangan koperasi iaitu sebanyak RM26.8 bilion atau lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan sektor koperasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar memberitahu, memasuki tahun ke-68 sejak penubuhannya, Bank Rakyat perlu memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan baharu dengan memanfaatkan potensi yang boleh diterokai seperti melaksanakan transformasi digital yang inklusif dalam perniagaan dan operasi bagi meremajakan Bank Rakyat.

“Bagi memastikan Bank Rakyat kekal relevan untuk tahun mendatang, kami telah merangka pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) yang kini berada dalam fasa pelaksanaan yang mana pada tahun 2021, kesemua 46 program yang direncanakan telah berjaya direalisasikan mengikut perancangan.

“Bank Rakyat akan terus menyokong pertumbuhan mampan Keluarga Koperasi dan memperkasakan peranan federasi koperasi khususnya dalam sektor kewangan dan keusahawanan yang mana bertepatan dengan aspirasi KUSKOP untuk memasyarakatkan gerakan koperasi dalam negara sebagai pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi negara bangsa yang seimbang dan progresif.

“Menjadi hasrat Bank Rakyat juga untuk terus berinovatif dalam merancang pelbagai produk dan perkhidmatan yang holistik dan bersepadu serta dapat memanfaatkan anggota dan pelanggan untuk mencapai visinya sebagai Bank Koperasi Islam Progresif Nombor 1 di Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berucap pada Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 JUN 2022.