Ali (kiri) menyerahkan sijil pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera kepada Chow Kon Yeow di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah meluluskan pencalonan Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera ketiga bagi negara.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, susulan itu pihaknya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM192,810 kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) untuk melaksanakan projek dokumentasi tapak rizab tersebut.

“Bukit Bendera yang berkeluasan 12,481 hektar sebagai tapak rizab biosfera Malaysia ketiga negara pada 15 September tahun lalu di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB).

“Ia telah melalui proses panjang dan mencabar pada peringkat negara mahupun sekretariat UNESCO sebelum diluluskan semasa mesyuarat yang diadakan di Abuja, Nigeria pada 13 hingga 17 September lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera di sini hari ini.

Ali bersama Kon Yeow pada majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng.

Tambah Ali, pihaknya percaya pengiktirafan tersebut akan mengharumkan lagi nama Pulau Pinang di mata dunia selain meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Dalam perkembangan sama, Ali berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri yang ingin mencalonkan kawasan negeri masing-masing sebagai tapak biodiversiti antarabangsa.

“Buat masa ini terdapat satu lagi lokasi berpotensi sebagai tapak rizab biosfera iaitu Sarawak Delta,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan