Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM di United Kingdom semalam.

MANCHESTER – Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluaskan kerjasama strategik bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agensi itu akan menetapkan kerjasama strategik membabitkan universiti di luar negara termasuk Universiti of Manchester (UoM) yang berada di ranking terbaik dunia.

“Universiti ini (UoM) adalah ranking yang ke-35 di seluruh dunia dan di United Kingdom adalah ranking yang kelima, di Eropah mereka ranking yang kelapan.

“Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini adalah 40,000 lebih pelajar di sini dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan kerja ke UoM, United Kingdom (UK) di sini semalam.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.

Delegasi lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam pada itu, Mahdzir dan delegasi turut mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan berkaitan aspek pengajian bidang baharu yang boleh diteroka oleh pelajar tajaan MARA ke UoM.

Beliau juga dibawa meninjau bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan UoM yang mempunyai kelengkapan dan peralatan pengajian moden dan terkini.

Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.

Dalam perkembangan berkaitan, MARA ketika ini, jelas Mahdzir sudah menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya di UK dan juga di 21 buah negara lain khususnya dalam pengajian kejuruteraan.

Untuk rekod, MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan 1,422 pelajar berada di UK.

“Kita dapat melihatlah bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar-pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar-pelajar Malaysia dalam penyertaan NGO, ko-kurikulum dan juga pengajian akademik,” jelas Mahdzir lagi.

Tambah Mahdzir, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor ranking universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.

Antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi empat juta buah buku dan manuskrip bercetak, 800, 000 buku elektronik dan 500, 000 jurnal elektronik.

“MARA mempunyai pelajar yang ramai di universiti ini dalam kalangan universiti yang ada di UK. Kita ada lebih kurang 229 pelajar di kampus UoM dan ini di bawah tajaan MARA”, jelas Mahdzir lagi. – MalaysiaGazette