Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Perak bagi mengatasi isu bekalan air untuk sistem pengairan sawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, OPA dijangka dilaksanakan selama tiga hari pada 14 hingga 16 Jun ini bergantung pada keadaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“Sistem pengairan yang terjejas itu meliputi 19,058 hektar sawah di bawah Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan sebahagian kawasan IADA Pulau Pinang di Sungai Acheh seluas 1,267 hektar.

“Subsektor yang turut mendapat manfaat daripada usaha ini, selain daripada 8,889 orang pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 orang pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang adalah sektor perikanan dan perkilangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald menambah, antara badan yang terlibat adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi-agensi berkaitan

Katanya lagi, MAFI juga akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MET Malaysia, kerajaan Negeri Perak dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu air ini.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya yakin proses pembenihan awan dapat membantu menurunkan hujan di kawasan terjejas. – MalaysiaGazette