KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mempersoalkan cadangan Pergerakan Pemuda UMNO yang menggesa kerajaan mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat salah laku dan pelanggaran etika kehakiman oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, apa bukti menunjukkan hakim itu telah melakukan salah laku etika seperti dakwaan sayap UMNO itu.
Kata beliau, banyak lagi kes penting melibatkan transaksi meragukan dan individu berkepentingan yang menyebabkan kerugian serta ancaman terhadap keselamatan negara sepatutnya diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau seumpamanya.
“Mengapa isu penting seperti ini tidak dibangkitkan sedangkan kes yang sudah selesai siasatannya pula sibuk digembar-gemburkan?
“Tambahan lagi, kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah pun dihantar kepada Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membuat gesaan kepada kerajaan agar membantuk satu tribunal khas bagi menyiasat salah laku dan pelanggaran etika kehakiman terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan serta keputusan yang telah dibuatnya terutama berkaitan kes berprofil tinggi.
Beliau dilaporkan berkata, tribunal khas itu boleh ditubuhkan berdasarkan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar Ketua Hakim Negara bertindak tegas terhadap dakwaan rasuah melibatkan hakim berkenaan kerana boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi benteng utama kedaulatan undang-undang.
Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan menegaskan, Wira Putra memandang tinggi mengenai keutamaan dalam pelaksanaan sistem kehakiman yang telus dan berintegriti.
Katanya, tiada seorang pun boleh dilepaskan dari dihakimi sekiranya terdapat asas dalam dakwaan terhadapnya.
“Namun, gesaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu mencetuskan tanda tanya. Apa bukti Mohd Nazlan telah membuat salah laku etika seperti dakwaannya?
“Yang penting, apakah tujuan Dr. Asyraf Wajdi yang membuat gesaan seumpama ini?” soalnya.
Beliau berpendapat isu itu tidak perlu dipolitikkan dan serahkan kepada Ketua Hakim Negara untuk membuat apa sahaja tindakan berdasarkan kebijaksanaannya jika kesalahan yang didakwa mempunyai asas.
Katanya, sebagai pemimpin muda yang memimpin sayap parti yang lama sepatutnya lebih berjiwa besar.
“Dia tidak seharusnya mensensasikan sistem kehakiman dan mengeluakan kenyataan seperti hendak memporak perandakan sistem kehakiman demi kelangsungan survival politik pihak tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemuda UMNO desak tubuh tribunal khas siasat salah laku Nazlan
Umni dengan apa cara pun dia akan lakukan demi membebaskan pemimpinnya yang tersangkut kes jenayah