SHAH ALAM – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot barter trade sarat dengan muatan pelbagai jenis ubat-ubatan kawalan tanpa permit di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan dilakukan pada 6.30 petang susulan maklumat risikan mengenai vesel mencurigakan di perairan berkenaan.

Beliau berkata, bot itu dikendalikan tekong dan kru terdiri daripada lima warga Indonesia berusia 23 hingga 62 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Namun mereka telah gagal mengemukakan permit berkaitan barangan dibawa. Hasil pemeriksaan menemukan sembilan kotak pelbagai jenis ubat kawalan yang dimuatkan di dalam bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siva Kumar berkata, kesemua mereka berserta muatan ubat dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952. – Bernama