Takiyuddin Hassan

GUA MUSANG – Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 serta bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, projek itu berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

Katanya, projek tersebut yang bakal menjana 300 megawatt (MW) telah diluluskan pelaksanaannya secara dasar oleh Kerajaan Persekutuan pada 2012 dan diluluskan kerajaan Kelantan pada Mac 2014.

“Projek yang mampu menjana tenaga serta merta ini boleh membantu memastikan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada Grid Nasional sekiranya berlaku gangguan dan bakal memberi manfaat besar kepada Kelantan.

“Projek berimpak tinggi ini dijangka dapat membantu kerajaan Kelantan meminima kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda selain mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaan dan pelbagai potensi kegiatan apabila siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, projek itu telah memasuki fasa pembinaan pada 1 Mac lepas dan pihaknya serta TNB sentiasa fokus untuk memaksimumkan manfaat projek itu, selain menjaga kepentingan perkampungan terlibat dan Orang Asli di sekitarnya.

“TNB bersama kerajaan negeri, jabatan serta agensi berkaitan akan melakukan penempatan semula beberapa penempatan Orang Asli yang terkesan berdasarkan keperluan perundangan dan persetujuan Orang Asli terlibat,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Aspirasi Nasional iaitu mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik dengan menetapkan sasaran sebanyak 40 peratus kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik menjelang 2035. – Bernama