Gambar hiasan

PASIR MAS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan pengambilan 120 anggota baharu tahun ini bagi memperkemas pasukan penguat kuasa jabatan tersebut, kata Pengarah Akademi JPJ Mohamad Kifli Ma Hasan.

Beliau berkata, ketika ini proses ujian fizikal dan temu duga sedang dilakukan bagi pengambilan berkenaan.

“Insya-Allah sebelum akhir tahun ini, mereka yang terpilih akan menjalani kursus tiga bulan di Akademi JPJ Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Cilik 2022/2023 di Sekolah Kebangsaan Kedondong di sini hari ini.

Mohamad Kifli berkata, JPJ juga sedang berusaha menubuhkan pasukan pancaragam sendiri selain sudah memiliki pasukan pancaragam yang dianggotai 45 pegawai yang memiliki kemahiran bermain alat muzik bagpipe.

“Pasukan pancaragam itu dianggotai pegawai dari seluruh negara, mereka yang dipilih mempunyai minat yang tinggi serta berkebolehan memainkan peralatan muzik.

“Walaupun menganggotai pasukan pancaragam, mereka ini turut berkhidmat dalam pasukan seperti Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ… mereka tetap tertakluk kepada penugasan yang menuntut disiplin tinggi,” katanya. – Bernama