Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai isu terkini Pengambilan Tanah Kampung Sungai Baru di Pusat Rukun tetangga Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Affendi Zahari sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dipertikai selepas dia didakwa muflis.

Dakwaan tersebut dilemparkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dalam satu sidang media hari ini.

Serentak itu Khalid mempersoalkan dengan status tersebut bagaimana Affendi kekal menjawat jawatan pengerusi di PKB.

“Saya ada terima maklumat yang terkini berhubung dengan Pengerusi PKB Affendi Zahari yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Titiwangsa.

“Dia telah diisytiharkan bankrup oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Oktober 2021.

“Ini maklumat yang saya terima dan pihak yang memaklumkan kepada saya dan juga beri dokumen yang menyatakan bahawa Affendi bankrup. Kalau sudah bankrup macam mana dia boleh pegang jawatan itu,” dakwa Khalid.

Khalid berkata demikian dalam satu sidang akhbar berkaitan isu pengambilan tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru hari ini.

Affendi dilantik semula sebagai Pengerusi PKB berkuatkuasa 19 Oktober 2020 bagi menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 18 Oktober 2020.

Beliau sebelum ini telah menjawat jawatan Pengerusi PKB selama tiga tahun dari 3 Ogos 2015 sehingga 15 Ogos 2018.-MalaysiaGazette