Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bersama penduduk memegang plakad bantahan mengenai isu terkini Pengambilan Tanah Kampung Sungai Baru di Pusat Rukun tetangga Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad telah membentuk sebuah jawatankuasa terdiri daripada barisan peguam bagi mencabar pewartaan pengambilalihan tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampong Bharu, di sini.

Khalid berkata, peguam berkenaan akan mengkaji daripada sudut undang-undang tindakan yang boleh diambil untuk menghalang dan mencabar keputusan pewartaan pengambilalihan tanah tanah penduduk bagi tujuan pembangunan semula.

“Kerana banyak yang berlaku yang menimbulkan persoalan termasuk prosedur cara bagaimana surat minta (penduduk) keluar dalam tempoh masa yang terdekat.

“Semua ini kita akan kaji dan akan cuba membantu supaya pemilik diberikan hak mereka. Tarik semula warta ini. Biar pemaju berunding dengan pemilik seperti biasa. Kerajaan jangan masuk campur. Ini pembangunan swasta,” katanya.

Menurut Khalid, peguam berkenaan telah memberikan beberapa cadangan yang perlu diperhalusi sebelum tindakan lanjut diambil.

Khalid ditemui dalam sidang media mendesak pewartaan ke atas tanah Kampung Sungai Baru dibatalkan di sini hari ini.

Tambah Khalid, penduduk Kampung Sungai Baru sepatutnya berunding terus dengan syarikat yang mahu mengambil tanah milik mereka dan bukannya dengan Perbadanan Kampung Baru (PKB).

“Tindakan PKB bertindak sebagai wakil kepada pemaju amat sangat tidak betul dan tepat. Sepatutnya PKB mewakili penduduk ataupun bertindak sebagai orang tengah. Tapi bila bertindak sebagai wakil kepada pemaju ini menimbulkan banyak persoalan.

“Kita tahu bahawa perintah pengosongan dengan menggunakan akta pengambilan tanah adalah isu yang dipertikaikan kerana kepada kerajaan ambil tanah dan rumah penduduk untuk diserahkan kepada pemaju. Itu sudah menjadi satu persoalan.

“Ini bukan projek kerajaan yang hendak bangunkan Kampung Sungai Baru. Pemaju yang hendak buat,” kata Khalid.

Sebanyak 72 unit rumah flat dan 37 rumah teres milik penduduk telah diwartakan mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021.

Bayaran pampasan dibuat dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000 mengikut prinsip Jadual Pertama, APT 1960.

Bagaimanapun penduduk tidak bersetuju dan mahukan pampasan dibayar dengan nilai semasa iaitu sebanyak RM1,500 bagi satu kaki persegi mengikut keluasan rumah yang diambil.

Menurut Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru Asyraf Johari pertemuan penduduk dengan wakil Perbadanan Kampung Baru (PKB) pada 7 Jun lalu diakhiri dengan kekecewaan.

“Masa sesi libat urus kita bawa dua perkara yang pertama kita mahu batalkan akta ini. Kalau akta ini tidak dibatalkan kita berunding dalam keadaan tertekan akhirnya kita akan kalah.

“Kita telah melantik penilai bebas yang telah memberikan penilaian pada harga RM1,500. Kalau pemaju itu hadir dan dengar kita mungkin ada perkembangan tapi dia tidak hadir,” katanya.

Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, penduduk tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL). – MalaysiaGazette