Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menggesa urusan dalam parti diselesaikan dengan segera kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir.

Serentak itu beliau akan meneruskan gerak kerja untuk menghadapi PRU-15 tanpa menunggu keputusan rasmi pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini.

Rafizi dalam keputusan tidak rasmi memenangi jawatan Timbalan Presiden itu berkata, keutamaannya pada masa ini adalah untuk membina kepercayaan rakyat.

“Keutamaan kita adalah membina kepercayaan rakyat kepada agenda masa depan yang boleh memperbaiki kehidupan rakyat.

“PRU15 sebenarnya sangat dekat dan sewajarnya urusan dalaman parti-parti politik diselesaikan secepat mungkin.

“Insya-Allah saya akan mula mengumumkan gerak kerja kempen untuk berkongsi idea-idea baru melalui Ayuh Malaysia minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau turut memohon bantuan rakyat Malaysia unytuk menyumbangkan idea dan tenaga dalam kempen yang akan dijalankannya nantu.

Menurut Rafizi, rakyat tidak seharusnya berharap terhadap ahli politik sahaja sebaliknya negara akan terus maju jika rakyat menggerakkan idea untuk kebajikan masyarakat.

“Saya mohon bantuan seberapa rakyat Malaysia untuk mengikuti dan turut serta dengan menyumbang buah fikiran dn tenaga.

“Kerajaan akan bertukar ganti tetapi negara akan terus maju apabila rakyat yang baik hatinya dan ikhlas niatnya kekal menggerakkan idea-idea pencerahan yang mendepankan kebajikan rakyat.

“Jangan berharap kepada ahli politik semata-mata, rakyatlah raja sebenar negara ini,” katanya.

Dua hari lalu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan akhir bulan ini ditangguhkan ke 16 dan 17 Julai depan.

Saifuddin Nasution berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.

Sementara Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, Panel Aduan Pemilihan Keadilan 2022 akan terus meneliti aduan-aduan yang diberikan oleh anggota-anggota parti melalui saluran rasmi JPP 2022.

JPP 2022 bersetuju untuk mendapatkan khidmat pakar digital untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan dan mereka kini sedang bertungkus lumus untuk memenuhi garis masa ditetapkan.

Sehubungan itu, JPP 2022 memerlukan sedikit masa lagi untuk tujuan ini sebelum memberikan senarai pemenang Pemilihan Keadilan 2022. – MalaysiaGazette