Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas secara terang terangan menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar berhenti ‘berpotilitiking’.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin, jelas Ahmad Zahid takut dengan bayang-bayang sendiri dan hilang jawatan apabila menggesa agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan.

“Beliau (Ahmad Zahid) seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

“Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi. Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khairil Nizam turut menyeru semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menasihati Ahmad Zahid supaya berhenti memberikan tekanan kepada Ismail Sabri untuk menyegerakan PRU15.

Katanya, sebagai presiden parti kaum Melayu, Ahmad Zahid harus berjiwa besar untuk bersama-sama kerajaan bagi meneruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

“Tujuan Pas menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan. Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti,” gesa beliau lagi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata Pas menerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin bimbang Pas akan hilang banyak kerusi jika PRU15 diadakan segera.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Pas kini mempunyai 18 kerusi Parlimen dan presidennya mungkin khuatir parti itu kehilangan lebih banyak kerusi andai PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, beliau khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi Parlimen sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 2.0 bertajuk ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, semalam.

Ia ekoran gesaan Abdul Hadi yang menegaskan parti itu menolak gesaan agar PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat. – MalaysiaGazette