Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun Sasterawan Negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak ‘memulangkan paku buah keras’ terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung kenyataan mengenai beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri selama ini.

Anwar berkata, Tommy juga perlu bertindak mencermin diri sendiri kerana buku nukilannya penuh dengan unsur-unsur perkauman.

“Dulu dia (Tommy Thomas) ada menulis tentang mempertahankan saya kerana campur tangan badan kehakiman. Ini diketahui umum.

“Semua sudah tahu. Tetapi Tommy Thomas harus juga melihat cermin kerana dalam bidang masa (Peguam Negara) dia ada jalankan tugas dan dalam buku dia unsur-unsur perkauman tebal, unsur-unsur menghina keupayaan penjawat awam, termasuk Jabatan Peguam Negara keseluruhannya.

“Tak boleh kata begitu. Takkan dalam ribuan tak ada seorang yang layak. ini pandangan kolot, colonial, yang kita tolak,” katanya dalam sidang media selepas ketika merasmikan Buku Kombo Merdeka 65 Tahun Sasterawan Negara A. Samad Said di Pesta Buku Antarabangsa, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas laporan media bahawa Tommy menggesa beliau cermin diri dan bertanya diri sendiri kenapa tidak dapat menjadi Perdana Menteri selama ini.

Tommy berkata, beliau berasa sedih bagi pihak presiden PKR itu kerana masih belum dapat menjawat jawatan Perdana Menteri.

Jelas Anwar, gesaan itu dibuat beliau memandang Tommy tidak dapat menerima kritikan.

“Saya boleh menerima kritikan yang saya dengar, jika dia berpendapat bahawa saya tidak akan berjaya sebagai Perdana Menteri, saya boleh beritahu beliau bahawa boleh jadi Perdana Menteri sekiranya saya berkompromi dengan rasuah, dan salah guna kuasa serta mencampuri urusan mahkamah.

“Tiada siapa boleh mempertikaikan itu tetapi saya menolak. Adakah itu satu kegagalan? Atau pada fikiran saya pendirian berprinsip untuk menghormati undang-undang,” bidas Anwar lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya menyokong pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini oleh kerajaan.

Jelas Ketua Pembangkang itu, undang-undang sedia ada nyata memaksa para hakim untuk menjatuhkan hukuman berkenaan tanpa pilihan lain.

“Saya sepenuhnya sokong. saya menyokong kerana undang-undang memaksa Hakim untuk menghukum tanpa ada pilihan.

“Tetapi dengan pindaan ini memberikan ruang kepada Hakim menilai faktanya, undang-undangnya dan bukti untuk jatuhkan hukuman,” kata Anwar lagi.

Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri, pada 8 Jun lalu. – MalaysiaGazette