Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Dunia pada Isnin mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada 5.5 peratus. Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam permintaan penggunaan, kata Bank Dunia dalam satu laporan.

Menurut bank yang berpangkalan di Washington itu, pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia dijangka mencecah 8.5 peratus tahun ini – kadar terpantas sejak 2008, lapor Xinhua.

Pemulihan yang kukuh dalam perbelanjaan isi rumah adalah berasaskan kepada kebimbangan kesihatan awam yang semakin berkurang terhadap beban kes COVID-19, serta sokongan dasar yang berterusan dan penambahbaikan secara beransur-ansur kepada prospek pekerjaan dan pendapatan, tambah laporan itu.

Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada 4.5 peratus pada 2023 dan 4.4 peratus pada 2024.

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020 tetapi berdasarkan mandat vaksinasi yang dipercepatkan, dan pengurangan halangan mobiliti, ia meningkat pada 3.1 peratus tahun lepas.

Pemulihan ekonomi negara berterusan tahun ini, tumbuh sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022.

Sebahagian besar daripada pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan permintaan dalam negeri berikutan penyambungan semula kebanyakan aktiviti ekonomi apabila langkah-langkah sekatan berkaitan pandemik terus dilonggarkan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast