Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman (kanan) menyampiankan Hadiah Bank Rakyat Penuhi Impian kepada Wan Mohd Azizi Wan Ahmad di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menerusi Kempen Penuhi Impian menghargai pelanggan setianya sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh berkata, kempen yang pertama kali diadakan tahun ini menyaksikan seramai 22 pelanggan terpilih dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM500,000.

Menurut beliau, penganjuran kempen itu juga bertepatan dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ untuk membantu memenuhi hasrat dan impian pelanggannya melalui pembiayaan yang ditawarkan.

“Kakitangan Bank Rakyat telah turun padang ke setiap pelusuk negara selama tiga bulan untuk menemu bual para pemenang bagi menyelami hati dan perasaan mereka.

“Saya tidak menyangka bahawa sebahagian daripada impian mereka bukanlah untuk diri sendiri malah untuk mengecapi impian orang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Penuhi Impian di Dewan Tun Abdul Razak (DTAR), Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman (kanan) bergambar bersama selepas sesi penyampiankan Hadiah Bank Rakyat Penuhi Impian di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2022.

Kempen Penuhi Impian bermula 1 Januari hingga 31 Mac lalu itu memberi peluang kepada pelanggan produk pembiayaan Bank Rakyat termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Kenderaan-i sepanjang tempoh kempen untuk menghantar penyertaan impian yang ingin mereka kecapi.

Pemenang dipilih berdasarkan kepada coretan impian paling berinspirasi dan menarik.

Antara impian pelanggan yang direalisasikan oleh Bank Rakyat termasuklah mendapatkan rawatan kesihatan, membawa ibu bapa menunaikan umrah, memberi hadiah kepada keluarga, kemudahan sesi pembelajaran di sekolah dan mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, kempen yang sama melambangkan komitmen bank koperasi sebagai institusi perbankan yang sentiasa mengutamakan pelanggan yang memerlukan dengan penuh ihsan dan kasih sayang.

Pada masa, kata beliau, ia juga untuk memberi dorangan dan motivasi kepada pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kekangan kewangan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berucap pada Majlis Penyampian Hadiah Bank Rakyat Penuhi Impian di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2022.

“Kempen ini yang dilancarkan pada 1 Januari lalu menerima lebih daripada 1,000 penyertaan sepanjang ia berlangsung. Ini menunjukkan bahawa ramai yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk memenuhi impian mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kempen berkenaan akan diteruskan pada penghujung tahun ini atas sambutan yang menggalakkan daripada seluruh pelanggan Bank Rakyat.

Dalam pada itu, Kempen Penuhi Impian itu telah merealisasikan impian ibu bapa kepada adik Izzul Haidar, 5, yang menghidap penyakit tumor otak dan cacat penglihatan mata kanan seumur hidup.

“Begitu juga dengan impian seorang guru di Arau, Perlis yang memasang harapan untuk membawa 22 orang pelajarnya yang kurang berkemampuan dan tidak pernah keluar dari Perlis untuk melancong dan melawat tempat menarik di Kuala Lumpur untuk menggembirakan mereka.

Kempen Penuhi Impian itu juga merealisasikan impian pasangan yang sudah lama menanti kehadiran cahaya mata untuk menjalani rawatan IVF dan impian seorang guru untuk memiliki bengkel percetakan mini sendiri untuk dimanfaatkan bersama murid-murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam 2, Kinabatangan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman (kanan) menyampiankan Hadiah Bank Rakyat Penuhi Impian kepada Farisya Hannah Samin Abullah di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2022.