Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Tiada perbincangan berkaitan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu lepas.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu hanya membincangkan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

“Tidak ada bincang kedudukan Perdana Menteri. Kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan mahu kerajaan yang stabil supaya boleh fokus masalah rakyat dan bukannya masalah peribadi politik.

“Kami berbincang tentang persiapan menghadapi pilihan raya dan masalah kos sara hidup, masalah harga makanan tinggi dan cara mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan itu mengulas laporan media yang memetik sumber mendedahkan antara perkara disebut dalam mesyuarat itu adalah Bersatu boleh menukar kerajaan Ismail Sabri tanpa mengadakan pilihan raya sekiranya mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, Bersatu sentiasa mengutamakan masalah rakyat dan dakwaan bahawa perkara berkenaan antara cadangan dikemukakan oleh kalangan pemimpin parti adalah tidak benar.

“Kalau ada ura-ura perbincangan lain itu bohong. Bersatu tidak bincang berkaitan politik. Bersatu bincang masalah rakyat,” katanya. – Bernama