Shaiful Hazizy PRU
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor kononnya UMNO mahu pilihan raya umum segera kerana ada kaitan dengan mahkamah beberapa pemimpinnya adalah menjengkelkan.

Ia adalah tuduhan tanpa fakta, tanpa bukti, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Menurutnya, belum ada satu pun lagi prosiding mahkamah yang terhenti, terganggu atau tertunda kerana UMNO berkuasa selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Jadi adalah sangat spekulatif untuk membuat andaian bahawa mahkamah boleh sewenang-wenang diarah, diganggu dan disepak terajang untuk memastikan mana-mana pemimpin BN terlepas dari keadilan.

Malah, pandangan sebegitu sangat menghina dan merendah-rendahkan kebebasan, ketelusan serta kebijaksanaan institusi kehakiman negara. Seolah-oleh mahkamah kita ini terlalu kerdil, takut dan tidak berpendirian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Shaiful Hazizy, daripada perspektif ekonomi, kemerosotan aliran masuk FDI bukan sahaja disumbangkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri yang gagal dan tidak proaktif tetapi juga kebimbangan para pelabur terhadap iklim politik negara yang tidak stabil dan penuh dengan ketidaktentuan.

“Kebanyakan pelabur besar mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana kerajaan boleh tumbang, dirombak atau ditukar pada bila-bila masa sahaja.

“Keadaan ini mewajarkan PRU segara kerana hanya dengan PRU baharu satu kestabilan dapat dicapai. Semakin lama aliran masuk FDI tidak diuruskan dengan cekap, semakin banyak kesan domino dan masalah yang akan muncul seperti pengangguran, ketidakcukupan bekalan barangan keperluan serta inflasi,” katanya.

Hakikat yang sering dilupakan, menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan yang diangkat oleh rakyat namun hanya produk kerjasama politik antara ahli-ahli Parlimen.

“Begitu juga situasi kerajaan Kedah sekarang, ia bukan kerajaan yang menang menerusi mandat rakyat.

“Kita mesti memulangkan mandat pada rakyat. Itu yang terbaik dan paling menyantuni prinsip demokrasi. Kerana, dalam perihal memulangkan mandat pada rakyat untuk memilih Kerajaan, tiada istilah cepat atau awal,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast