PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan wanita yang dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, akhir bulan lalu disambung reman dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata, perintah sambung reman terhadap kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 22 tahun itu dilakukan di Mahkamah Majistret Lenggong hari ini.

“Kes ini masih dalam siasatan dan jika ada pertuduhan (di mahkamah) akan diberitahu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Keempat-empat lelaki itu ditahan selepas polis menahan teman lelaki mangsa berusia 20 tahun yang kini dalam tahanan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas.

Polis turut menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.

Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk. – Bernama