MSM Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencapai lima bulan berturut-turut (Januari hingga Mei) sifar Kecederaan Masa Hilang (LTI) atau 2,351,697 jam kerja selamat yang berkaitan dengan insiden industri.

Pencapaian itu menandakan penambahbaikan berterusan MSM untuk kesejahteraan pekerja dan keselamatan tempat kerja serta memacu budaya keselamatan yang lebih tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad.

“MSM komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat serta secara aktif memacu usaha pencegahan kemalangan merentasi semua operasi,” katanya semasa pelancaran Minggu Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan MSM Prai.

Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja diraikan setiap tahun pada 28 April.

Menurutnya, MSM melakukan penambahbaikan untuk mengubah budaya keselamatan di semua anak syarikat dengan pelaksanaan inisiatif utama U See U Act, untuk menggalakkan pekerja untuk mengenal pasti dan melaporkan apa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan serta membuat penambahbaikan di tempat kerja.

Penambahbaikan ini menyebabkan kadar insiden keselamatan menurun sebanyak 24% pada 2021 berbanding 2020.

Tambahan pula, semua anak syarikat MSM diperakui dengan ISO 45001:2018 oleh SIRIM QAS International. ISO 45001:2018 menetapkan keperluan untuk Sistem  Pengurusan Pekerjaan, Kesihatan dan Keselamatan (OH&S) dan memberi panduan untuk penggunaannya bagi membolehkan organisasi menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat dengan mencegah kecederaan dan keuzuran yang berkaitan dengan kerja, serta menambah baik secara proaktif prestasi OH&S mereka.

Katanya, MSM juga telah mewujudkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang mengutamakan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi untuk pekerja dan pihak ketiga selaras dengan Piawaian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan MSM.

Ia mematuhi piawaian industri kesihatan dan keselamatan antarabangsa dan tempatan dengan memenuhi keperluan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang & Jentera 1967.

“MSM komited sepenuhnya untuk menyediakan tempat kerja yang selamat, kondusif dan sihat dengan mencegah kecederaan yang berkaitan dengan kerja, kemalangan hampir kena, dan kesihatan pekerjaan dengan meningkatkan dan menambah baik proses dan prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara proaktif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast