Home Nasional Pemandu van miliki 73 saman ditahan pandu secara melulu

Pemandu van miliki 73 saman ditahan pandu secara melulu

KULIM – Perbuatan berbahaya seorang pemandu van memandu secara melulu selain potong garisan berkembar di Jalan Kelang Lama-Lunas, di sini, memakan diri apabila ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan jam 1 tengah hari tadi selepas pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 19 saat menunjukkan pemanduan melulu suspek tular di media sosial.

Mohd Redzuan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku semalam kira-kira jam 5.30 petang sebelum usaha mengesannya dilakukan.

“Kita dapati suspek memandu van tersebut dalam keadaan melulu dengan memotong secara bahaya di garisan berkembar tambahan pula lokasi itu merupakan kawasan selekoh sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Semakan ke atas suspek mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 73 rekod saman lampau yang belum dijelaskan termasuk 22 daripadanya berstatus waran.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, pemilik van berkenaan juga disaman atas kesalahan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette