Foto: IPD Tanah Merah

TANAH MERAH – Cubaan seorang lelaki warga tempatan menyeludup 23 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah digagalkan anggota polis dalam kejadian di sini, 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt Wan Zulfikri Wan Othman berkata, terdahulu anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan mengesan sebuah Toyota Vellfire dipandu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dalam kenderaan mencurigakan di Bukit Bunga.

Beliau berkata, selepas dikejar, kenderaan itu dan ia berjaya ditahan di Batu 11 Jalan Jeli-Tanah Merah, dan pemandunya ditahan dalam kawasan semak berhampiran semasa cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian penumpang menemukan 18 lelaki dan lima wanita warga Myanmar berusia 19 hingga 44 tahun yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemandu kenderaan yang didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah dan 16 rekod jenayah narkotik itu mengaku menerima upah RM300 bagi tiap seorang warga Myanmar untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

“Pemandu itu akan disiasat dibawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga Myanmar yang ditahan akan disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/69,” katanya. – Bernama