Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak membuat sidang khas Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Justeru itu, Majlis Presiden PH hari ini mendesak untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri bagi membincangkan mengenai perihal tersebut.

“PH berharap RUU berkenaan akan dapat dibentangkan, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai depan.

“Dengan melaksanakan RUU ini, maka 15 daripada 18 Perkara dalam Memorandum Persefahaman (MoU) diantara PH dan kerajaan akan tercapai bersamaan dengan 83 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubunan Kinabalu Progresif (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

MoU antara PH dan kerajaan sebelum ini memutuskan agar kerajaan menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi seorang Perdana Menteri membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen dan juga meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ismail Sabri dicadangkan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membolehkan RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dibentangkan di Dewan Rakyat minggu pertama Julai ini.

Jelas Wan Junaidi, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 bagi memaklumkan cadangan kepada Perdana Menteri yang dibuat pada Selasa lalu.

Sebelum ini, Ismail Sabri menjelaskan, adalah perlu untuk Pindaan Perkara 10 Perlembagaan dibentang di Dewan Rakyat esok bagi membolehkan Akta Antilompat Parti dibentang.

Rang undang-undang bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan itu bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan. – MalaysiaGazette