A man was hacked to death in a fight at Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Klang, Selangor. murder case main witness
A man was hacked to death in a fight at Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Klang, Selangor. Seorang lelaki maut menjadi mangsa pergaduhan di Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Klang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa pergaduhan yang membabitkan beberapa lelaki dalam kejadian di Jalan Serindit 9, Taman Eng Ann, Klang, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kejadian itu berlaku pukul 9.47 pagi tadi selepas pihaknya menerima panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS).

“Pihak polis telah sampai di tempat kejadian dan mendapati satu mayat berada di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah.

“Siasatan mendapati mangsa satu lelaki India dipercayai telah diserang dan ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki dipercayai India.

“Ini kerana mangsa merupakan saksi utama polis bagi satu kes bunuh yang berlaku di Shah Alam pada 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan oleh luka kecederaan di bahagian badan, tangan kanan, tangan kiri dan kepala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan-Bunuh.

“Pihak polis Klang Utara meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara untuk memberi sebarang maklumat berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette