Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mencari langkah yang lebih sesuai untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong mempersoalkan kebolehlaksanaan cadangan KKM untuk membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan kerana kekurangan bekalan ubat berlaku membabitkan semua premis kesihatan.

“Isu kekurangan bekalan ubat bukan sekadar dihadapi fasiliti kesihatan swasta, malah hospital kerajaan, farmasi, klinik dan fasiliti kesihatan yang lain turut berdepan dengan masalah ini,” katanya yang mendakwa difahamkan bahawa ubat-ubatan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran, seperti ubat batuk, ubat selsema, ubat tahan sakit, ubat anti-radang dan lain-lain kini kehabisan stok.

Beliau berkata, kekurangan bahan mentah merupakan antara sebab utama yang menyebabkan isu kekurangan bekalan ubat berlaku di negara ini.

Perkara ini menyebabkan pengilang farmasi tempatan tidak dapat membekalkan ubat-ubatan mereka mengikut jadual.

Lantaran itu, beliau menyarankan kerajaan memberi pertimbangan untuk mengimport bahan mentah atau ubat alternatif dari negara yang berbeza bagi menangani isu kekurangan ubat.

Tong Keong berharap kerajaan mengambil berat tentang isu ini kerana ia membabitkan keselamatan rakyat dan harus diselesaikan secepat mungkin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengakui bahawa negara mengalami kekurangan beberapa jenis ubat di pasaran, turut merumuskan tiga langkah penyelesaian sementara untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kini berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Antara langkah-langkah sementara itu adalah membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat dari fasiliti kesihatan yang lain, pesakit dari fasiliti kesihatan swasta boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan dan pesakit boleh membeli ubat-ubatan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan. – MalaysiaGazette