Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menujukan barang yang dirampas oleh anggota polis ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan anggota polis menumpaskan sendiket penipuan bisnes email perniagaan (BEC) di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua penggodam, termasuk seorang warga tempatan dan seorang warga asing, kerana disyaki melalukan penipuan antarabangsa membabitkan RM3,907,308.68 dalam satu serbuan di Eco Majestic, Semenyih, 13 Jun lalu.

Siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warganegara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menetap di Dubai dalam urusan jual beli simen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa telah berurusan dengan syarikat Oyak Cimento Fabrikalari A.S melalui e-mel untuk pembelian bahan simen granulated blast furnace slag berjumlah 41,000 metrik tan.

“Sepanjang perbincangan dilakukan, pihak penjual menggunakan alamat e-mel [email protected].

“Bagaimanapun mangsa menerima e-mel daripada alamat [email protected].

“Emel itu mengarahkan mangsa membuat pembayaran bagi urusniaga tersebut ke akaun milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia.

“Setelah pembayaran dibuat, pengadu tidak menerima barangan yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, sebuah Proton Exora 1.6L, enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam tangan dan dua komputer riba.

Turut dirampas 10 unit cop, sejumlah barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan itu.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis juga mengambil tindakan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 untuk membekukan wang tunai berjumlah RM1,857,628.08 daripada akaun bank milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading.

Mohd Kamarudin berkata, polis menggesa masyarakat khususnya ahli perniagaan yang menggunakan e-mel dalam urusan seharian agar sentiasa berhati-hati.

“Pastikan e-mel yang diterima adalah benar-benar daripada pihak pembeli atau penjual

“Waspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran.

“Hubungi syarikat penjual atau pembeli melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette