Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mencari langkah lebih sesuai bagi menangani isu kekurangan bekalan perubatan negara berbanding mencadangkan fasiliti kesihatan meminjam sesama sendiri.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, isu kekurangan bekalan ubat bukan dihadapi fasiliti kesihatan swasta malah hospital kerajaan, farmasi, klinik dan fasiliti kesihatan yang lain turut berdepan masalah sama.

Jelas beliau, kekurangan bahan mentah merupakan antara sebab utama berlakunya isu kekurangan bekalan ubat dalam negara.

“Ini telah menyebabkan pengilang farmasi tempatan tidak dapat membekalkan ubat-ubatan mereka mengikut jadual.

“Saya difahamkan, ubat-ubatan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran seperti ubat batuk, ubat selesema, ubat tahan sakit, ubat anti-radang dan lain-lain kini kehabisan stok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Tong Keong menyarankan kerajaan memberi pertimbangan untuk mengimport bahan mentah atau ubat alternatif dari negara yang berbeza bagi menangani isu kekurangan ubat.

“Kita harap kerajaan mengambil berat tentang isu ini kerana ia membabitkan keselamatan kesihatan rakyat jelata yang harus diselesaikan secepat mungkin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui bahawa negara kita mengalami kekurangan beberapa jenis ubat di pasaran dan turut merumuskan tiga langkah penyelesaian sementara untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kini berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Antara langkah-langkah sementara itu adalah membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat dari fasiliti kesihatan yang lain, pesakit dari fasiliti kesihatan swasta boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan dan pesakit boleh membeli ubat-ubatan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan.

Pelaksanaan langkah sekatan ketat di negara China dan perang antara Rusia serta Ukraine dikatakan antara sebab kekurangan bekalan ubat-ubatan dalam negara. – MalaysiaGazette