Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengusaha ladang sawit, tanpa mengira saiz ladang digesa untuk mengoptimumkan penggunaan baja daripada sisa organik bagi menggantikan baja berasaskan kimia ekoran kenaikan harga baja yang mencecah sehingga 60% daripada jumlah kos pengeluaran minyak sawit

Selain dapat memberi pulangan kepada pengusaha ladang, penggunaan baja daripada sisa organik juga dilihat membantu dalam aspek keselamatan makanan memandangkan pengeluaran makanan yang selamat adalah penting untuk melindungi pengguna di dalam negara, daripada bahaya penyakit bawaan makanan.

Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan ini selari dengan saranan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu usaha untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) semasa pengeluaran di ladang dan proses pasca pengeluaran penghasilan produk pertanian.

Bukan itu sahaja, kementerian turut menggalakkan pengusaha ladang dan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dengan melaksanakan penanaman berselang.

Ini kerana, penanaman berselang diyakini boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan pengeluaran sawit.

”Penanaman kelapa sawit kini menghadapi kenaikan kos operasi antara 10% dan 15% berpunca daripada lonjakan dalam kos baja, buruh dan bahan api. Kenaikan harga baja minyak sawit merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan berpunca daripada tekanan inflasi dan konflik Rusia-Ukraine.

“Oleh itu, penggunaan kaedah setempat untuk mengatasi kekurangan dan harga baja yang terlalu tinggi adalah lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Antara kaedah inovatif ialah penghasilan baja bio menggunakan tempurung isirong sawit (PKS) -yang biasanya akan dibakar atau ditanam melalui proses pirolisis untuk menghasilkan biochar PKS yang kemudiannya dirawat dengan biojisim lain seperti baja ayam untuk menghasilkan baja bio yang kemudiannya boleh digunakan sebagai baja untuk kelapa sawit.

Katanya, baru-baru ini, KPPK juga telah membuka permohonan untuk dua insentif iaitu Skim Pertanian Bersepadu Kelapa Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank-MPOB.

Di bawah ITa, pengusaha ladang kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar manakala mereka yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak menerima RM3,000 sehektar.

”Insentif tanaman selingan ini bertujuan menggalakkan pemilik ladang mempelbagaikan sumber pendapatan mereka melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah mereka, di samping meringankan kos pengeluaran akibat kenaikan harga baja.

”Dalam keadaan kenaikan harga baja dan situasi semasa akibat tekanan inflasi dan peperangan di Ukaraine dan Rusia, pemain industri dan pekebun kecil perlu memikirkan langkah agresif bagi memastikan cabaran ini akan dapat diatasi dan seterusnya pulangan pendapatan hasil sawit tidak akan terkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette